Translate

Friday 30 December 2011

Budak Millenium

Petang tu, gua lepak-lepak atas pangkin bawah pokok manggis dekat rumah gua. Abah gua yang buat pangkin tu, sedap juga la melepak sambil hisap rokok. Nyaman je rasanya. Tengah gua menikmati petang yang damai tu, datang sorang budak. Anak jiran gua, gua kenal dia. Umur lebih kurang 9-10 tahun gua rasa.

"Buat apa tu, bang? Lama tak nampak?" Dia soal gua.

"Lepak-lepak je, ambik angin." Gua balas.

"Boring betul la, bang,"

"Buat apa tu, bang?" Dia soal lagi, bila tengok gua kuis-kuis tanah dengan ranting kayu.

"Aku nak tangkap semut hitam, suruh berlawan, mana tau boleh hilang boring ko tu karang," 

"Tak payah la, bang. Main PSP pun boleh hilang jugak boring ni," dia jawab.

Gua rasa nak menangis dah, kalau dia tahu main menatang tu boleh hilang boring, pasal apa dia tak main je terus? Pasal apa? Aduhhhh.

"Game apa ko main? Bak aku tengok kejap,"

"Macam-macam, bang." Dia jawab, sambil hulurkan PSP dia.

"Game mende ni? PES takde? Need for speed?" Gua soal dia.

"Game apa tu, bang? Tak pernah dengar pun," dia balas.

"Aduhhh, ko ni. Download la game power-power sikit. Baru la terbuka minda  ko tu nanti. Ko tu dah bersunat." Gua kutuk dia, padan muka.

"Oh, patut la..." Dia cakap tak habis.

"Patut la mende?" Gua soal dia.

"Patut la rasa macam nak tumbuh janggut dan misai, nak jadi remaja dah," dia balas.

"Aduhhh, bersunat baru tiga empat hari, tumbuh amendanya." Panas juga gua dengan budak ni.

"Bang, kalau dah bersunat, kawan orang cakap boleh ada makwe."

"Ko jangan mengada, sekolah pun baru darjah empat. Aku bagitau mak ko, nak?" Gua ugut dia.

"Sikit-sikit nak report, tak sedap la lepak dengan abang ni, nak balik la." Dia pun terus balik.

Budak-budak sekarang, lain macam betul. Gua dulu, kalau abah gua cakap je pasal nak sunatkan gua, laju gua lari panjat pokok. Punya la takut. Nampak Tok Mudim pun gua menggigil dah. Kalau main polis sentri tu, orang jahat yang kena tangkap, mesti nama dia Tok Mudim.

Budak-budak sekarang, dengar pasal nak kena sunat, jadi seronok betul. Sebab lepas bersunat nak ada makwe. Jenis lepas bersunat nak kawin pun ada juga. 

Wednesday 28 December 2011

Cerita Yang Sungguh Seram

Di luar, hujan sedang mengamuk, seperti ia mahu mencuci setiap dosa-dosa yang ditinggalkan manusia di atas bumi. Ribut dan petir juga membantu dalam amukan sang hujan. Sesekali petir melepaskan dentuman dan kilat. 

Prak! Krak! Krak! Bunyi tulang patah. Mungkin patah dua atau tiga. 

Lelaki di depan Jefri menjerit meminta tolong. Namun, lelaki yang satu lagi, memakai topeng tengkorak hitam tidak peduli dengan jeritan itu. Lelaki bertopeng tengkorak hitam mengambil kapak, dihayun ke kaki lelaki yang melolong. Putus. Lelaki bertopeng tengkorak hitam ketawa puas. Kapak dihayun ke kepala lelaki yang menjerit kakinya putus, kepalanya bercerai dengan tubuh. 

Senyap. Tak ada jeritan lagi. Selesai satu nyawa. Lelaki bertopeng tengkorak hitam ketawa kuat. Bunyi hujan, ribut dan petir seakan-akan mengalah, seperti kecut melihat kegilaan manusia bertopeng tengkorak hitam itu. 

Jefri juga kecut perut, peluh mengalir, tubuhnya menggigil ketakutan dan menanti apa yang bakal terjadi.Seorang lagi lelaki, duduk terikat di atas sebuah kerusi. Mulutnya diikat dengan kain. Hanya beseluar tanpa baju. Lelaki bertopeng tengkorak hitam mengeluarkan pisau. Seperti pisau yang biasa digunakan John Rambo. Perlahan-lahan pisau itu diletakkan ke atas dada lelaki yang terikat di kerusi. Dikelar dada lelaki tersebut, mengelupur. Pisau ditegakkan. Dengan hanya satu tekanan, pisau terbenam ke dalam tubuh lelaki yang terikat. Pisau di tarik hingga ke perut. Terburai segala isi perut dan lelaki itu hilang nyawanya. Lelaki bertopeng tengkorak ketawa lagi, sepertinya betul-betul puas mencabut nyawa demi nyawa. Jefri menggigil, betul-betul menggigil.


Kemudian lelaki bertopeng tengkorak hitam menunjukkan jari telunjuknya ke arah Jefri. Menggeletar seluruh tubuhnya. Jefri cuba mencari kekuatan. Lelaki bertopeng tengkorak hitam memandang bengis ke arah Jefri. Jefri terasa seperti hendak menangis. Mata Jefri lekat ke arah objek di atas meja di depannya. Dia hanya perlukan sedikit kekuatan untuk capai objek tersebut dan mengakhiri semuanya. Ketawa lelaki bertopeng tengkorak hitam masih lagi bergema. Jefri mengumpul kekuatan untuk mencapai objek itu. Mulut Jefri terkumat-kamit memberi kata-kata semangat untuk merangsang kekuatannya, "agi idup agi ngelaban" dan "takkan melayu hilang di dunia" bersilih ganti di bibirnya. Ada juga Jefri tersasul menyebut "melayu mudah lupa", lekas-lekas dibetulkannya semula. 

Yarghhh! Akhirnya Jefri berjaya mencapai remote control atas meja dan tekan butang off. Jefri mengurut-urut dada. Betul-betul seram cerita dalam tivi yang dia tonton tadi. 

Monday 26 December 2011

Jangan Sibuk Hal Orang

Sekarang ni gua rasa betul-betul merdeka, sebab hari-hari gua boleh bangun lambat.  Gua tengah cuti semester. Tapi, pagi ni bila bangun gua rasa lain macam, rasa lenguh-lenguh pulak badan gua ni. Takkan sebab mimpi bergaduh? Sakit tu ikut sampai ke alam nyata. Gila betul. Jangan-jangan nak bertukar jadi Superman tak? Badan lenguh-lenguh sebab nak timbul muscle? Jadi tough la gua nanti. Dalam pada gua tengah risau tu, mak gua ajak pergi hospital. Aik, macam mana dia tahu? Gua tak bagitahu dia pun pasal sakit badan gua ni.
"Takpe la, mak. Sikit je, karang elok la."
"Sikit amendenya, patah kaki patah tangan, eksiden malam tadi," ujar emak gua, sedikit tinggi suaranya. Tekaan gua tak mengena, rupa-rupanya mak gua ajak pergi hospital. Tengok anak sedara dia eksiden. Gua pun bersiap-siap la. Yelah, anak sedara mak gua, bermakna sepupu gua la yang eksiden tu.

Sebelum sampai ke hospital, gua singgah dulu beli buah-buahan. Biasa la, adat melawat orang sakit, yea dak? Sampai je hospital, gua parking kereta. Mak gua sibuk dah bertanya itu ini dalam telefon, padahal kejap lagi nak jumpa jugak tu. Selang 10 minit, mak sedara gua datang, bawak gua dengan makpergi ke wad. Sepupu gua tengah tidur masa tu. Dari penceritaan mak sedara gua, sepupu gua tu mengelak orang tua hendak lintas jalan. Gua mengangguk je la. Lepas tu gua pun mintak diri, nak lepak dekat luar ambik angin.
Gua lepak dekat kerusi bawah pokok, mata gua liar memerhati sekeliling, mana tau ada makwe nurse tengah praktikal, boleh gua mengorat. Tiba-tiba, telinga gua menangkap satu perbualan. Pantas gua berpusing mencari perbualan tersebut. Kelihatan sekelompok perempuan sedang berbual-bual.
"Ada anak kembar kamu yea? Susah la kami nak cam mana satu abang, mana satu adik ni," ujar seorang perempuan yang sedikit berumur.
"Kan, tapi seronok la ada anak kembar ni. Orang nak anak kembar juga la nanti," balas seorang lagi perempuan, perempuan muda.
"Macam mana la awak cam ya, mana abang mana adik," ujar seorang lagi perempuan, berambut perang memakai kaca mata hitam. Aduhhh, gua pulak rasa menyampah. Panas je hati gua ni. Diorang pulak nak sibuk-sibuk pasal anak kembar tu kenapa? Mesti la mak dia boleh cam. Dah anak dia.
Kucing tu, sama je muka anak dia dengan muka anak kawan dia, boleh je kucing tu kenal. Takde nak tertukar pun. Sorang lagi tu, nak anak kembar juga pergi la kawin dengan arnab tu, sekali keluar 5-6 ekor kembar.
Tapi, yang gua ni pulak tiba-tiba nak panas hati, apa hal? Lantak diorang la nak cakap apa pun, bukannya gua kenal diorang tu. Malu pulak gua rasa. Jadi, gua pun pergi cari mak gua. Ajak dia balik.

Wednesday 23 November 2011

Thursday 17 November 2011

Annyongseyo!

Gua tau juga la sikit-sikit pasal orang korea ni, tapi takde la sampai gua jadi minat sangat. Tak sanggup lagi gua nak pakai baju tulis I Love K-pop. Ada yang jenis betul-betul minat tu, sampai boleh bertutur dalam bahasa Korea ni. Gila betul.
Pendedahan pertama gua dapat pasal K-pop ni, sebab ada sorang makwe suggest dekat gua, suruh tengok cerita Boys Over Flower dekat 8Tv. Gua tengok tajuk pun dah tak sedap masa tu. Cerita benda tajuk budak lelaki dengan bunga ni? Gua pun layan, layan lagi dan lagi. Sedar-sedar dah 2 minggu gua hadap cerita tu. Cilake betul, sedap!
Gua dah tak tentu arah dah, drama tu dah nak habis dekat 8Tv. Gua pulak tak tau jalan cerita dari awal, Geum Jan Di gua dah declare jadi makwe gua dah. Jadi, gua pun dengan malu-malu mintak la dengan makwe yang suggest suruh gua tengok tu, pinjam dvd dia. 
Lagi gila babi, ada 5 keping cd, satu cd 5 jam. Gua hadap semua dalam masa 3 hari je. Jadi, gua tegaskan lagi sekali, gua bukanlah peminat tegar, gua sekadar ambil tahu je. Araso? Kah kah kah!

Sunday 6 November 2011

Raya Haji Bah. 2

Lepas solat sunat Aidiladha tadi, gua tengok tivi je. Lepas tu tidur. Nak beraya pun tak tau nak pergi mana, jadi sempena hari raya korban kali ni, gua korbankan la masa gua untuk tidur. Lebih kurang dekat pukul 4 petang, gua tersedar. Sebab lapar, jadi gua pun bersiap-siap la nak pergi cari makanan. Gua mak-eup lebih-lebih kurang, lepas tu keluar dengan modus operandi nak beli makanan.
Sampai dekat medan selera Taman Wira, gua tengok semua kedai tutup. Jadi, gua pun menuju ke Pasaraya TSB. Pun tutup juga. Gua syak tokey dia cina, ingatkan tak tutup la, tapi tutup juga. Jadi, destinasi terakhir gua 7E la. Mana lagi, confirm tak tutup. Gua masuk 7E, capai megi sebungkus, lepas tu pergi bayar,
"Makan megi ja?" Soal tu. Gua diam je, muka gua masamkan sikit. Nasib baik makwe, kalau tidak gua terajang dah.
Sampai rumah, member gua lagi dua orang dah tunggu dah, bila nampak je megi. Wajah mereka sedikit kecewa. Setelah itu, kami pun bergotong-royong la memasak megi dengan paling-paling sedap masakannya. Dah siap masak, hidang la megi tersebut dan makan. Gua jadi pelik pulak tengok member gua sorang ni makan megi pejam mata.
"Apa hal ko ni? Makan apa gitu gaya?" Soal gua, musykil juga la rasanya.
"Diam la! Aku tengah bayang makan mee kari ni, ko tau mende!" Jawab member gua tu.
Aikkk! Lain macam juga dia ni. Gua pun pejam juga la mata, lepas tu bayang tengah makan sate. Tak sampai beb rasa sate tu. Rasa megi juga. 

Sunday 30 October 2011

Raya Haji Bah. 1

Raya Haji kali ni gua tak balik kampung, memandangkan cuti tiga hari je. Dari kedah balik pahang, tak cukup beb kalau tiga hari ni. Kena pulak musim Exam. Nak tak nak raya dekat sini je la gua kali ni. Tat nenas, lemang dan ketupat gua terbayang dah, tapi nak buat macam mana. Kena hadap juga la raya dekat sini. Jadi, nak buang rasa sedih tu, gua pun buat-buat sibuk mengulangkaji, kononnya. Tapi teringat juga dekat family gua, lagi-lagi mak gua. Ada juga la rasa nak menangis tu. Tapi gua tahan. Dah teringat tu mula la layan flashback.
Gua ingat masa kecik-kecik, kalau raya je beli baju melayu kaler merah. Sebab gua nak jadi power rangers merah. Masa tadika, gilir-gilir pakai baju kaler hijau dan merah. Isnin, Rabu dan Jumaat kaler merah. Selasa dan Khamis kaler hijau. Kadang-kadang, sengaja gua pakai baju merah hari-hari. Sebab gua kan power rangers merah.
Mak gua selalu pesan, "Kalau nak jadi power rangers kena la pandai, nak pandai kena la rajin pergi sekolah." Tapi masa tu gua budak-budak lagi, kalau gua tahu dah besar ni kena ambik macam-macam jenis Exam, sabtu dan ahad pun gua suruh mak gua hantar pergi sekolah. Lepas tu, mak gua belikan beg sekolah power rangers, rajin la gua pergi sekolah. Sebab nak menunjuk je. Kah kah kah!
Bila dah besar sikit, baru gua tahu, gua tak boleh pun jadi power rangers. Mak gua cakap macam tu sebab nak gua rajin pergi sekolah dan jadi pandai. Tapi, gua rasa boleh juga kalau nak jadi power rangers ni. Tu polis, askar dan bomba tu, kira power rangers juga la, sebab selamatkan orang. Jadi, gua tabik dengan mak gua la. Sebab tak jemu mendidik gua ni. Gua berdoa semoga gua dapat jaga dia macam mana dia jaga gua dari kecik sampai la besar macam sekarang ni.

Wednesday 19 October 2011

Imsomnia


Tuesday 18 October 2011

Suatu Ketika Dahulu

Entri kali ni, gua nak cerita pasal gua muda-muda dulu, masa zaman gua hanyut mengikut darah muda. Setiap segala yang berlaku, gua rasa mencabar kepanasan baran gua. Sekarang ni, pada usia dua puluh empat tahun, gua masih lagi sekolah, kawan-kawan gua dah ada yang bertunang, yang kawin pun ada juga. Gua masih lagi dengan buku, pen, assigment dan mengadap muka-muka lecturer, ada yang cun, yang garang lagi ramai.
Kalau gua tau belajar ni susah, takde la gua nak jadi degil dan jahat masa sekolah menengah dulu. Macam-macam gua buat, melepak dalam hutan, menyorok dalam almari, menyorok dalam tandas dan macam-macam jahat lagi la, sebabnya malas pergi sekolah. Cikgu-cikgu pun dah malas nak tegur, sudahnya jadi la gua macam ni, kurang pandai. Bila dah buat salah, macam-macam denda la yang gua dapat.
Gua standby dah alasan dalam kepala, sebab gua rasa setiap apa yang gua buat, mesti ada alasan kena gua buat benda tu. Bila kena tangkap, gua pakai la alasan-alasan tu, ada yang menyelamatkan gua, tapi banyak kena lempang la bila gua bagi alasan. Tapi tak serik, buat juga lagi. Ada sekali tu, lepas makan dekat kantin, ni cerita masa gua tingkatan 6 atas la. Gua malas nak masuk kelas, gua pun balik la hostel, merokok sebatang dua dulu, rutin lepas makan.
Tengah-tengah menghayati sedutan demi sedutan, tiba-tiba gua dengar bising-bising, tak lain tak bukan la ni, kena serang hendap dengan warden dan cikgu disiplin gua agak. Gua cepat-cepat buka baju dan seluar sekolah, sapu minyak cap kapak dekat muka lepas tu baring, tunggu je dua orang tu datang.
"Kenapa ni?" Soal warden.
"Demam, ustaz." Gua jawab, suara dah lemah habis dah.
"Alahai, demam yea? Ubat makan dah?" Soal warden lagi.
Gua menggelengkan kepala, kononnya tak larat sangat la, sampai bercakap pun tak boleh.
Zapppp! Rotan singgah dekat punggung gua, pedih juga walaupun berlapik dengan selimut, perit je rasa punggung gua masa tu.
"Jangan nak menipu, saya nampak kamu dekat kantin tadi, tu rokok tu. Sorok la sikit." Katanya lagi.
Akhirnya gua terpaksa mengadap pengetua. Tapi itu tak buat gua serik. Berdendam pulak dengan Cikgu-cikgu. Tapi tu dulu la, sekarang gua dah jadi baik. Makan pun baca Bismillah, nak kentut pun gua masuk tandas. Kah kah kah!

Friday 23 September 2011

Ada Apa Dengan Cinta?

Entri ini berkenaan cinta. Gua syak, korang mesti dah jemu baca pasal cinta ni, tapi gua nak tulis juga sebab tak tau nak tulis apa dah ni. Sekarang ni, pergi la mana-mana pun, Utara, Selatan, Timur, Barat, Barat Daya, dan Timur Leste mesti nampak orang bercinta. Kalau tak tengok, jeling-jeling pun nampak juga pasangan bercinta ni. Biasa la, lelaki dan perempuan saling memerlukan dalam kehidupan ini. Bila dah bercinta, pasti akan mengambil berat antara satu sama lain. Tapi, macam mana kalau jenis yang terlalu mengambil berat? Erti kata lainnya mengongkong? Ada ke orang yang suka? Kalau ada dia patut diberi Sijil Penghargaan di atas bangangnya itu.
Ada juga yang tak suka, tapi sebab sayang, jadi la dia seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Gua bagi contoh sikit, jantan ni housemate gua,
Contoh 1
"Abang, malam ni Anje nak study, esok Anje ada paper. Jangan text atau call yea. Doakan Anje lulus." Bila sampai waktu pakwe dia pulak, "Anje, esok Abang ada paper, nanti la abang balas dan call Ayang yea." Jawab si makwe tanpa ada rasa bangang, "Yeaaa la tu, entah-entah text orang lain, text je la dengan Anje sambil study!"
Contoh 2
Malam tu dah setuju nak pergi futsal. Tiba-tiba dia call makwe, "Abang nak tidur awal la Anje, sakit kepala, nanti tersedar Abang text yea." Menipu! Sebab kalau tak menipu si makwe bangang merajuk, cakap si pakwe pentingkan futsal dari dia. Bangang!
Gua rasa, dalam kes macam ni, si makwe la yang mintak kena tipu. Jadi, ada apa dengan cinta?

Friday 16 September 2011

Hikayat Lemang Malam Raya

Dah 3 minggu umat islam menyambut hari raya, sedikit terlambat gua post entri ni. Gua nak cerita ni, raya sekarang ni dah jadi musim orang kahwin agaknya. Kakak gua kahwin, adik perempuan gua la bertunang. Ada juga gua tanya dengan mak gua, adik gua bertunang dulu ni dah dikira langkah bendul dah ni, patutnya gua dapat hadiah la? Setelah diterangkan, baru gua tau, lelaki takde istilah langkah bendul. Macam bendul juga gua rasa masa mak gua terangkan tu. Okay, okay bukan pasal tu gua nak cerita. Tapi, pasal gua sambut raya dan kena jaga lemang. Benda paling bosan dalam dunia selepas jaga hati makwe. Masa dengar pengumuman raya, gua paling excited, mana taknya gua puasa penuh tahun ni. Kah kah kah!
Tengah-tengah gua hepi besok nak raya, abah gua panggil, dia pegang buluh. Gua lagi la hepi, lama betul tak main meriam buluh ni.
"Kabaid dah beli ke bah? Kurang-kurang sekilo setengah juga ni, baru puas hati."
"Tengkorak kamu, ni buluh lemang, pergi basuh, lepas tu hidupkan api, mak kamu dah standby tu." Jawab abah gua.
Gua pun turuti la kemahuan abah gua, tak berani gua nak membantah, lagi-lagi bila ingat balik yang gua kena ikat dekat pokok manggis sebab pergi mandi sungai masa Darjah 6 dulu. Abah gua bukan jenis yang boleh dibawa berbincang. Gua dah cakap tak sengaja jatuh dalam sungai, lepas dah basah tu gua mandi la dengan kawan-kawan. Dia tak percaya.
Dah selesai basuh buluh, gua pun hidupkan api. Setelah itu bermula la episod paling bosan dalam hidup gua, mesej kawan-kawan gua dah beratur dah masuk, ajak lepak la, main wheelie la, lumba haram secara berkelompok la. Gua panas je masa baca. Korang apa tau jaga api lemang pun malas, tau makan lemang je, lemang segera pulak tu. Dah 10 minit jaga api lemang, gua dah boring sangat-sangat dah, gua usya je abah gua. Dia relaks je.
"Masak lemang segera je la bah, takde la nak buang masa tunggu lama-lama macam ni, habis sia-sia usia remaja orang kena tunggu api lemang ni, malam raya orang nak hepi-hepi, jaga api lemang ni mana datang hepinya?"
Abah gua tetap relaks. Sebab gua marah dalam hati je. Gila nak marah betul-betul, tak baca dekat atas tu gua kena ikat dekat pokok? Perasaan boring mengalir laju di setiap urat dan pembuluh darah gua, dekat 40 kali dah gua menyanyi lagu Airmata Syawal, takde juga rasa sedih tu. Tetap rasa boring juga. Boleh muntah kalau rasa boring lama-lama ni. Tengah gua boring tu, Abah gua cakap suruh tangkap Arnab, boleh juga panggang sambil tunggu lemang. Panggang Ayam dah boring dia cakap.
Gua pun operasi la tangkap Arnab, dah malam ni senang sikit, Arnab duduk dalam reban dah. Dah siap sembelih tu, gua bersihkan. Dua ekor juga Arnab kena sembelih, tak sempat dia nak raya dah kena makan. Dah setel basuh gua pun lumurkan dengan garam dan kunyit, Arnab tu potong dua je. Jadi, ada empat bahagian semuanya, tiga bahagian gua lumurkan dengan garam dan kunyit, satu bahagian lagi gua lumurkan dengan rempah kari, bahagian gua, baru ada rasa spicy sikit.
Lebih kurang sejam setengah. Arnab pun masak, yang lain gua hantar dalam rumah, bahagian gua, gua makan sorang-sorang. Sedap juga daging Arnab ni rupa-rupanya, sama rasa dia macam sate Arnab tu. Setel makan Arnab, gua hisap rokok sorok-sorok, sambil menunggu lemang yang dalam fasa terakhir untuk masak. Setelah itu, lemang pun masak, gua pun angkat letak dekat dapur dan gua pergi mandi. Dan masuk tidur, lain macam sikit gua rasa malam tu. Tidur pun tak berapa lena.
Pagi esoknya gua bangun, gua bangun sendiri je. Mak gua tak kejut pun, biasa gua cukup payah nak bangun pagi ni, tapi mungkin sebab semangat nak raya, mungkin juga sebab...,
"Eh, kenapa tak pakai baju raya ni? Cepat la nak pergi masjid lak ni." Tegur abah gua.
Pagi raya, gua pakai singlet dengan towel je. Apa taknya, dari malam sakit perut, ulang-alik pergi toilet, Arnab rempah kari punya pasal. Tak raya gua hari tu, kawan-kawan nak datang rumah pun gua tak kasi.

Friday 26 August 2011

Selamat Hari Raya

Di kesempatan ini, gua mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang sudi follow dan baca blog gua ni. Gua menyusun 10 jari tanda minta maaf, jika terkasar komen, terkurang bahasa atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Sesungguhnya tidak terniat langsung gua sengaja nak buat macam tu. Jika korang pun nak minta maaf, dari nampak anak Bulan Ramadhan lagi gua dah maafkan dah.

Izinkan gua berpantun sedikit,


Pergi memancing si ikan keli,
Bawa umpan roti dan maggi,
Andai ada kesilapan diri,
Harap diampun semua sekali.
Akhir kata dari gua, semoga selamat pulang berhari raya, berhati-hati di jalanraya, pandu la dengan berhemah, ingat orang tersayang. Gua takde duit raya nak bagi, kad raya pun takde juga, tapi gua ada hati yang ikhlas untuk mengucapkan,
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN

Tuesday 23 August 2011

Suatu Petang

Kalau ada masa lapang, kerap juga gua baca novel ni, biasanya novel mak gua la yang gua rembat bawak balik hostel. Gila nak beli, muka ganas macam Rambo, takkan nak pergi beli novel. Petang itu, gua baca sebuah novel, sebagai salahsatu cara untuk membunuh masa yang ada. Gua jadi tertarik dengan satu ayat dalam novel ni "Cinta belum lagi jodoh, tapi jodoh itu sudah pasti cinta" power juga ayat ni. Jadi, gua buat keputusan untuk keluar berjalan-jalan, ini juga salahsatu dari cara-cara untuk membunuh masa lapang gua. Setelah itu, gua pun memandu motorsikal, jenis Honda Ex5. Rakan-rakan seperjuang gua semua ingat gua beli motorsikal tu guna duit PTPTN, padahal mak gua yang hadiahkan sebab gua dapat masuk Universiti. Ingat ada PTPTN je boleh beli agaknya. Phuihhh!
Hampir setengah jam juga gua meronda, takde lagi gua jumpa jodoh, kalau tak boleh juga gua tanya pasal cinta. Agaknya, makwe-makwe sini semua duduk rumah, sms dengan pakwe. Takpe la, kejap lagi kalau takde apa, kalau dah bosan gua balik hostel je la. Waktu nak balik tu gua nampak ada satu brader ni tepi sungai, hisap rokok buat dengan surat khabar, panjang juga rokok dia. Power brader ni, power. Silap-silap sedara dengan Bob Marley, tak pun Kurt Cobain.
Jadi, gua berkira-kira nak lepak dengan dia la, boleh juga berbual-bual. Gua pun memandu menghala ke arah brader tersebut. Gua bagi signal ke kanan, kemudian parking motorsikal gua. Gua berjalan ke arah dia. Lebih kurang jarak 10 meter, gua pusing balik. Lekas-lekas gua berjalan ke motorsikal gua. Brader tu gua dengar dia bercakap sorang-sorang,
"Dulu, lembu aku ramai. Habih mati kena selesema burung, yang kapai selam pasaipa dia menyelam? Pasaipa tak pi bulan? Duit aku dok ada lapan juta, aku kaya, kayaaa!!!" Jerit brader tu sambil kutip daun simpan dalam baju.

Sunday 21 August 2011

Bumi Asing

Cerita ini berlaku pada tahun 2008, kali pertama gua jejakkan kaki ke Negeri Kedah, Alor Setar. Gua ke sini kerana menyambung pengajian. Negeri ini cukup asing bagi gua, loghat yang aneh. Gua tak pernah keluar dari Negeri kelahiran gua, Negeri Pahang. Tak pernah terlintas di kepala otak gua, akan tinggal di negeri ini. Gua juga sedikit musykil, apa hal banyak sangat orang tanam lalang dekat sini? Apakah fungsinya kepada ekosistem negeri ini? Atau sekadar salahsatu dari kempen oleh kerajaan untuk menghijaukan bumi? Macam-macam pendapat dan kesimpulan yang bermain di dalam kepala gua. Gua mula buat sedikit kajian, kadang-kadang tidur pun lewat. Rakan sebilik gua, ada juga menegur perangai gua. Gua buat tak tahu je.
"Hang jangan hisap dadah, sat lagi kena tangkap. Nah, hisap rokok balut ni, tembakau cap kuda, padu baqhang. Ayaq ketum hang pernah terai ka?" Katanya, menasihatkan gua.
Gua masih tak puas hati, selagi tak tau sebab apa dan kenapa, selagi itu hati gua tak puas. Kenapa tak tanya rakan sebilik gua? Lagi baik kalau gua tanya dengan kucing. Otak dia dengan kucing, cerdik dia sikit je gua rasa. Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Gua tak dapat lagi jawapan. Jadi gua buat keputusan untuk keluar mencari jawapan.
Petang itu, angin bayu bertiup lembut. Lalang meliuk-lentok, panas juga hati gua tengok lalang meliuk-liuk macam tu. Dekat kampung gua ada juga orang tanam lalang, tapi takde la dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Gua patahkan satu pokok lalang tu. Puas sikit hati gua masa tu.
"Dok buat apa tak tau, dok sorang-sorang lagu ni. Hang hisap gam ka cheq? Jangan dok buat lagu tu, Pakcik balun sat lagi, mampuih!" Tegur seorang Pakcik, kurang sopan juga tegurannya itu.
"Pakcik, pasal apa orang tanam lalang banyak sangat dekat sini? Lembu takde pun?" Soal gua, gua beranikan diri bertanya.
"Laaa, awat cheq? Hat tu bukan lalang, tu padi." kata Pakcik itu lagi, dia kelihatan bingung sedikit.
Gua pun bersalam, kemudian meminta izin untuk pergi, Pakcik tersebut masih lagi membebel dalam loghat yang gua kurang paham. Dan, gua tak akan sia-siakan 4 tahun gua di sini untuk belajar bersungguh-sungguh!

Balik Raya

Entri ini juga bercerita pasal puasa, yea la sekarang kan bulan puasa. Gua bercerita la pasal puasa dengan bersungguh-sungguh. Setelah hampir sebulan berpuasa dia hostel, tiba la waktunya untuk balik ke kampung. Masa tengah-tengah bulan puasa hari tu, gua dah berbincang dengan rakan sekampung gua, dia kerja askar dekat Jitra, gua lak duduk hostel dekat Mergong, Alor Setar. Dia ajak gua balik sekali dengan kawan dia, naik kereta. Gua pun bersetuju la. Senang sikit kalau naik kereta dari naik bas.
Gua buat tak tau je la, tengok kawan-kawan satu negeri dengan gua pergi berebut beli tiket. Yea la, gua balik naik kereta, apa ada hal. Dua hari lepas tu, kawan gua kerja askar tu call, dia cakap budak yang gua dengan dia nak tumpang tu tak dapat cuti, dia pulak balik naik trak sampai Kem Askar Bentong. Gua? Mengelupur la pergi Terminal bas Shahab Perdana, nak beli tiket. Cilaka betul. Ulat tiket lagi babi, sampi 70 ringgit jual tiket dekat gua, biasa 48 ringgit je. Nak tak nak, beli juga la, gila apa nak beraya dekat hostel sorang-sorang.
Okay, okay dipendekkan cerita, gua pun selamat mendarat di puduraya. Lebih kurang pukul 4 petang. Maknanya, sempat lagi gua naik bas pukul 5 dari Jalan pekeliling ke Raub. Dalam pukul 6.30 atau pukul 7 sampai la ke Raub. Boleh berbuka dekat Bandar Raub je nanti. Jadi, gua pun selamat berada di dalam perut bas Pahang Lin Siong, warna merah pekat.
Setelah itu bas pun meluncur laju, mengikut kehendak setiap penumpang yang membeli tiket dan naik bas tersebut. Gua relaks, melihat keluar tingkap sambil menyanyi lagu balik kampung, nyanyian Allahyarham Sudirman. Ketika gua berada di antara dua alam, alam sedar dan alam mimpi. Bas berhenti dengan tiba-tiba. Gua mula berfikir bukan-bukan, bas kena hijacked ke? Adakah gua akan diculik? Kemudian dijual di pasaran antarabangsa? Saat itu wajah mak dan abah gua bersilih ganti di depan mata, gua rasa nak menangis dah, kemudian bayangan abah gua mengetuk kepala gua "pergi la tanya driver tu, apa hal!". Gua terus tersedar dan mengikut arahannya.
"Manyak soli aaa, roda angin sikit kurang, mau isi lulu la." Kata driver, gua syak dia orang cina.
Masuk bengkel rupa-rupanya, gua rasa tenang balik. 5 minit. 10 minit. 15 minit. 20 minit. 25 minit tak setel lagi, gua dah resah, makanan apa pun tak beli lagi ni. Gua jangka sampai pukul 7 petang dekat Raub, ni dah pukul 6 lebih dekat bengkel lagi ni. Apa cerita macam ni?
"Lama lagi ke, Uncle?" Soal gua, muka gua masamkan sedikit, bagi nampak serius dan gangster.
"Wa mau cakap banyak pun talak belani ma, lu tanya ini roda la, apa maciam?" Jawab Uncle itu, tanpa sedikit pun dia rasa bangang.
Sepuluh minit selepas itu, bas kembali bergerak. Memang tak sempat nak berbuka dekat Bandar Raub nanti ni. Gua perhati satu-persatu muka manusia dalam bas, ada 5 orang semuanya. 3 Bangladesh, 1 India dan 1 lagi gua tak dapat kenalpasti orang apa. Takde harapan langsung gua nak paw makanan.
"Jika kita melambat-lambatkan bersahur, maka akan dapat pahala. Begitu juga, jika mempercepatkan berbuka."
Gua teringat kata-kata seorang Ustazah dalam Astro Oasis, Ustazah apa entah nama dia. Tapi cantik juga la. Gua nak pahala berbuka awal, jadi gua terus mengorek hidung, sebab setahu gua itu salahsatu dari perkara yang membatalkan puasa. Jadi gua dapat pahala sunat berbuka awal.

Ayam Percik

Entri kali ni pun pasal kenangan bulan puasa juga, bulan puasa masa gua kecik-kecik la. Budak baik macam gua, dari dalam perut mak lagi dah mula puasa. Petang tu, gua relaks je main bola, budak-budak sebaya gua takde yang join, semua letih puasa. Gua malas nak jadikan puasa tu alasan untuk tak bersukan, lagi pun dekat setengah baldi dah gua minum air paip tadi. Ada la tenaga sikit. Elok je gua nak buat sepakan lencong, mak gua panggil. Gua sebagai anak mithali terus menyahut dan pergi ke pintu dapur,
"Pergi beli Ayam Percik kejap, nanti boleh makan waktu berbuka nanti." Kata mak gua.
"Nak berapa ekor, Mak?"
"Beli 3 ketul dah la." Kata mak gua lagi, dia hulurkan 20 ringgit dekat gua.
Gua pun pergi la berjalan kaki, sampai je dekat tempat menjual Ayam Percik, gua mintak 3 ketul. Pakcik tu bagi 4 ketul, percuma seketul. Katanya, kesian sebab gua letih puasa. Dia tak tau padahal gua letih sebab main bola. Selepas mengambil baki, gua pun berjalan balik ke rumah. Sekejap-sekejap guan tengok Ayam Percik dalam plastik tu, lain macam bau dia. Jadi, gua pun makan la seketul, ada lagi 3. Gua berenti tepi semak makan masa tu. Tengah sedap-sedap makan, gua tak sedar habis empat-empat ketul gua telan. Mampus!
Sampai je dekat rumah, gua buat muka sedih. Gua dah rancang dah nak buat macam ni masa berjalan balik tadi, ini rancangan yang paling bernas gua fikir. Gua buat muka sedih depan mak gua,
"Haaa, kenapa lak ni?" Soal mak gua.
"Duit nak beli Ayam tadi tercicir la mak, penat orang cari, tak jumpa. Dah la puasa." Jawab gua, menipu.
"Takpe la, takde rezeki la tu. Lainkali simpan duit elok-elok." Kata mak gua lagi, kemudian dia sambung berperang dengan dapur, memasak untuk berbuka nanti.
Malam tu, berbuka la kami anak-beranak tanpa Ayam Percik. Selamat gua, gua paksa juga makan banyak-banyak walaupun dah kenyang, takut Abah gua perasan, kantoi pulak tak puasa nanti. Lepas dah siap makan, gua bersiap-siap nak ikut pergi terawih.
"Ni duit sape banyak-banyak ni?" Soal mak gua, dia pegang seluar pendek gua pakai petang tadi.
"Duit orang la mak, kan seluar orang tu." Jawab gua.
"Haaa, ambik duit abah yea? Banyak sangat ni." Sergah mak gua.
"Mana ada ambik, tu duit lebih petang tadi." Jawab gua jujur, lepas tu baru gua rasa lain macam.
Gua tengok muka mak gua, tadi elok-elok je cun, dah berubah dah, dia tengok gua macam nak makan gua je. Aduhhh! Mampus gini, gua terlepas cakap pasal duit tu. Dan, malam itu gua menangis, tanda gua menyesal dengan perbuatan menipu. Gila tak menangis, mak dengan abah gua berduet rotan gua dengan penyangkut baju.



Satu Petang Berbuka Dengan Makwe

Sementara menunggu azan Maghrib dilaungkan, gua berborak kosong dengan makwe gua. Dari hal menanam padi hingga ke penanaman koko di Brazil. Kemudian makwe gua menegur jersi Manchester United yang gua pakai, gua kasitau ke dia yang jersi ini adalah milik satu pasukan bolasepak yang terhandal di dunia. Gua juga sempat menasihati makwe gua dengan mengatakan jika berkahwin dengan penyokong pasukan Manchester United, tidak ada impian yang tidak akan ditunaikan sambil gua berikan dia satu senyuman manis. Makwe gua angguk-angguk kepala. Teruja benar gayanya.

"Awak ada tinggal puasa tak?"

Gua lebarkan lagi senyuman gua hingga ke telinga. Untuk menunjukkan gua masih tenang dalam apa jua keadaan walaupun gua tak puasa saat berbuka dengan dia ketika ini.

"Ada jugak tinggal, gastrik." Gua beri alasan yang seringkali digunakan oleh orang malas puasa.

"Awak ni, kuat la sikit, gastrik pun tak boleh lawan, macam mana nak kawin nanti?" Makwe gua menduga. "Berapa hari tinggal?" Tanya makwe gua sambil melihat ke wajah gua. 

Ini yang gua paling lemah bila makwe pandang muka gua. "Dua hari jeeee."

"Betul ni, dua hari je?" Tanya makwe gua lagi sambil kerutkan dahi.

"Dua hari je tinggal, yang lain puasa separuh hari je," gua jawab dengan jujur dan diikuti dengan ketawa.

Azan maghrib berkumandang, kami berbuka puasa dalam keadaan tanpa sepatah kata. 

Selepas itu gua pun menghantar bekas makwe gua pulang, dan sebagaimana berakhirnya bulan ramadhan, berakhir jugalah hubungan gua dengan makwe gua.

Selamat Datang!

Setelah gua fikir baik dan buruk, gua ambil keputusan untuk memiliki blog gua sendiri. Apa yang gua nak tulis dalam blog ni nanti, gua belum fikir lagi.

Lagi satu gua nak kasitau, gua rasa gua lah orang pertama yang ada blog dan menggunakan blog kampung gua ni. Jadi, adakah gua sudah dikira sebagai seorang bloger? Jeng jeng jenggg!