Translate

Wednesday 28 December 2011

Cerita Yang Sungguh Seram

Di luar, hujan sedang mengamuk, seperti ia mahu mencuci setiap dosa-dosa yang ditinggalkan manusia di atas bumi. Ribut dan petir juga membantu dalam amukan sang hujan. Sesekali petir melepaskan dentuman dan kilat. 

Prak! Krak! Krak! Bunyi tulang patah. Mungkin patah dua atau tiga. 

Lelaki di depan Jefri menjerit meminta tolong. Namun, lelaki yang satu lagi, memakai topeng tengkorak hitam tidak peduli dengan jeritan itu. Lelaki bertopeng tengkorak hitam mengambil kapak, dihayun ke kaki lelaki yang melolong. Putus. Lelaki bertopeng tengkorak hitam ketawa puas. Kapak dihayun ke kepala lelaki yang menjerit kakinya putus, kepalanya bercerai dengan tubuh. 

Senyap. Tak ada jeritan lagi. Selesai satu nyawa. Lelaki bertopeng tengkorak hitam ketawa kuat. Bunyi hujan, ribut dan petir seakan-akan mengalah, seperti kecut melihat kegilaan manusia bertopeng tengkorak hitam itu. 

Jefri juga kecut perut, peluh mengalir, tubuhnya menggigil ketakutan dan menanti apa yang bakal terjadi.Seorang lagi lelaki, duduk terikat di atas sebuah kerusi. Mulutnya diikat dengan kain. Hanya beseluar tanpa baju. Lelaki bertopeng tengkorak hitam mengeluarkan pisau. Seperti pisau yang biasa digunakan John Rambo. Perlahan-lahan pisau itu diletakkan ke atas dada lelaki yang terikat di kerusi. Dikelar dada lelaki tersebut, mengelupur. Pisau ditegakkan. Dengan hanya satu tekanan, pisau terbenam ke dalam tubuh lelaki yang terikat. Pisau di tarik hingga ke perut. Terburai segala isi perut dan lelaki itu hilang nyawanya. Lelaki bertopeng tengkorak ketawa lagi, sepertinya betul-betul puas mencabut nyawa demi nyawa. Jefri menggigil, betul-betul menggigil.


Kemudian lelaki bertopeng tengkorak hitam menunjukkan jari telunjuknya ke arah Jefri. Menggeletar seluruh tubuhnya. Jefri cuba mencari kekuatan. Lelaki bertopeng tengkorak hitam memandang bengis ke arah Jefri. Jefri terasa seperti hendak menangis. Mata Jefri lekat ke arah objek di atas meja di depannya. Dia hanya perlukan sedikit kekuatan untuk capai objek tersebut dan mengakhiri semuanya. Ketawa lelaki bertopeng tengkorak hitam masih lagi bergema. Jefri mengumpul kekuatan untuk mencapai objek itu. Mulut Jefri terkumat-kamit memberi kata-kata semangat untuk merangsang kekuatannya, "agi idup agi ngelaban" dan "takkan melayu hilang di dunia" bersilih ganti di bibirnya. Ada juga Jefri tersasul menyebut "melayu mudah lupa", lekas-lekas dibetulkannya semula. 

Yarghhh! Akhirnya Jefri berjaya mencapai remote control atas meja dan tekan butang off. Jefri mengurut-urut dada. Betul-betul seram cerita dalam tivi yang dia tonton tadi. 

No comments:

Post a Comment